Wednesday, March 4, 2009
>> P P S M I <<
Bahagian 1
Kenapa perlu kecoh? Apakah dosa besar PPSMI sehingga alasan Bahasa Melayu akan diketepikan terpacul? Agak kelakar apabila melihat ”pejuang-pejuang bahasa” di luar sana yang ingin berbicara tentang kemaslahatan bahasa, survival, dan kepupusan Bahasa Melayu pada ketika dan saat ini. Namun, ini bukanlah satu kenyataan yang saya memperlekehkan pejuang-pejuang ini mahupun Bahasa Melayu yang sudah menjadi darah dan daging sekian lama.
Analisis saya mudah:
1. Matlamat dan dasar PPSMI ini perlu dilihat dari sudut ilmiah. Saya percaya bahawa pada pengakhiran penilaian kita nanti, bukanlah generasi yang pandai-cemerlang-fasih Bahasa Inggeris yang ingin kita lahirkan tetapi generasi yang dapat menguasai ilmu sains dan matematik dengan baik. Seandainya lahir generasi yang bukan sahaja boleh menguasai ilmu sains dan matematik malah boleh bertutur-menulis dengan baik juga di dalam Bahasa Inggeris, itu satu kejayaan yang datang dalam satu pakej!
2. Kita harus sedar dan realistik. Di dalam peredaran dunia global pada hari ini, tidak dapat tidak, penggunaan Bahasa Inggeris di dalam bidang-bidang sains memang tidak boleh diketepikan dan dinafikan kepentingannya.
3. Apakah dengan menguasai ilmu sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris, Melayu kita akan hilang? Cuba lihat sudah berapa ramai graduan Melayu di dalam bidang sains dan teknologi dilahirkan, adakah mereka sudah ”Inggeris” dek kerana belajar menggunakan bahasa tersebut?
4. Kita lihat pula dari manakah lahirnya mereka yang kononnya pejuang bahasa dan bangsa ini? Kebanyakan daripada mereka lahir dari sistem pendidikan British yang bertapak lebih daripada 50 tahun dahulu. Bukan satu dua mata pelajaran diajar dalam bahasa penjajah itu, bahkan hampir kesemuanya! Apakah itu telah menyebabkan mereka ”Inggeris”? Tidak! Lihat sahaja tokoh-tokoh yang sudah ada, Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, malah Tun Dr. Mahathir sendiri, tidakkah mereka ini lahir daripada kelas-kelas Inggeris dan mereka adalah ”Inggeris” pada saat mereka dijulang sebagai pejuang bangsa? Tidak juga! Jadi apa masalahnya?
5. Adakalanya saya terfikir, di mana pejuang-pejuang bahasa ini pada ketika dan masa isu-isu tidak hangat seperti ini berada di pentas media? Apakah inisiatif-inisiatif berimpak besar yang mereka telah perjuangkan jika tidak ada isu PPSMI ini? Apa pula rancangan mereka yang sepatutnya difikirkan 10-20 tahun dahulu dengan satu strategi sejauh pandangan pencetus dasar Wawasan 2020 dan PPSMI ini? Apakah si pencetus dasar-dasar ini pada ketika itu bodoh hingga tidak memikirkan nasib bahasa sendiri? Canggung bukan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
aku sokong ko...
Post a Comment