Bahagian 2
6. Balik kepada persoalan ilmu. Saya tidak nafikan dasar-dasar ini adalah hasil daripada ramuan politik tetapi satu garisan pemisah juga perlu diletakkan antara dasar baik dan tidak menguntungkan. Saya berpandangan, sewajarnya ”pejuang-pejuang bahasa” ini duduk dan bermuhasabah. Apakah tindakan mereka menghalang pelaksanaan dasar ini menguntungkan anak-anak bangsa? Memang wujud halangan dan kekangan di dalam apa jua pelaksanaan sesuatu dasar. Namakan sahaja: isu bandar-luar bandar, teknologi, kelengkapan dan infrastuktur, tenaga pengajar dan sebagainya. Namun ia akan tetap menjadi masalah sekiranya mereka juga tidak tampil membantu menyelesaikannya.
7. Dari sudut penambahbaikan, saya amat menanti-nantikan apakah langkah bijak serta strategi jangka panjang daripada minda pejuang-pejuang ini untuk memastikan Bahasa Melayu terus bertahan. Setakat berarak, berpikat, berdemonstrasi dan menghantar memorandum agar dasar ini dihapuskan, ia tidak menjanjikan apa-apa buat kelangsungan Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati ini, saya ingin melihat mereka benar-benar melaksanakan satu usaha yang benar-benar memberi impak kepada kelangsungan Bahasa Melayu.
8. Saya ingin mencadangkan, agar mereka ini lihat kembali kepada susur galur perjuangan kita merintis daya tahan Bahasa Melayu ini dari dahulu lagi. Tolak ketepi isu PPSMI ini seketika, cadangkan kepada kerajaan dan masyarakat apakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan bagi pelajar-pelajar untuk memahami dan menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu sendiri dengan baik. Masih ada pelajar merasakan pelajaran Bahasa Melayu sebagai membosankan. Lihat sahaja prestasi Bahasa Melayu sebelum dasar ini PPSMI ini dilaksanakan pun, masih ada golongan yang tercicir dari kelompok menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Apakah tindakan mereka untuk memperbaikinya? Itu belum lagi melihat kepada usaha-usaha tambahan lain yang sepatutntya digerakkan untuk memperkasa dan mengangkasakan Bahasa Melayu di persada yang selayaknya. Sedih. Kurang dan hampir tiada!
9. Jika isu bahan bacaan sains dan teknologi yang boleh dibilang dengan jari menjadi halangan, maka menjadi tugas anda menterjemahkannya sekalipun tidak mampu menulisnya! Jangan kerana kita tidak mampu, kekuatan pada orang lain kita salahkan.
10. Bertindaklah mengikut peredaran masa. Akal dan buah fikiran yang ada bukannya Al-Quran yang sememangnya tidak boleh diubah biar pun kita kemajuan kita mendahului zaman. Kaitkan dengan apa yang berlaku di luar sana. Berfikir di luar kotak kemelut PPSMI ini seketika. Kita mengutuk Zionis dan Yahudi atas keganasan yang mereka ke atas Palestin dengan kecanggihan peralatan ketenteraan mereka miliki. Apakah kekuatan yang dibina itu bukan hasil daripada penguasaan sains dan teknologi yang mereka milik? Tidak cukup dengan itu, kita juga memboikot barang-barang keluaran Yahudi yang hampir kebanyakan daripadanya merupakan darah daging sebahagian daripada kita sebelum itu. Adakah itu sahaja yang mampu kita lakukan? Kutuk-boikot-demonstrasi? Pengakhirannya, kita kembali menggunakan barang-barang tersebut setelah kita letih dan tiada alternatif lain. Saya melihat dasar PPSMI inilah antara jawapan yang boleh kita julang untuk melihat kekuatan dan penguasaan Yahudi dan unipolar dunia berakhir. Ia mungkin mengambil masa tetapi ia lebih pintar dan bijak daripada sekadar kutuk-boikot-demonstrasi dan tiada apa yang tersirna daripadanya. Saya melihat ini antara matlamat tersirat yang cuba diluahkan oleh si pencetus idea PPSMI ini tetapi berapa ramai yang memikirkan kaitan kitarannya?
11. Saya amat mengharapkan agar dasar PPSMI ini diteruskan dan dilaksanakan oleh kerajaan. Saya juga menyeru kepada penentang-penentang dasar ini melihat kembali kepada yang telah saya nyatakan di atas. Tolak ketepi sebentar usaha boikot-piket-demonstrasi yang anda cuba laksanakan itu, lihat apakah usaha lain yang lebih berkesan dan bermatlamat yang boleh anda laksanakan bagi memperkasa Bahasa Melayu ini. Alangkah manisnya jika generasi yang akan lahir 10-20 tahun nanti bukan sahaja mampu menguasai Bahasa Melayu dengan cemerlang malah dapat menguasai ilmu sains dan teknologi yang dapat mengangkat martabat bangsa dan negara pada saat dan ketika kita menjejakkan kaki ke tahun 2020 nanti. Ingat, kita bukanlah ingin menguasai Bahasa Inggeris tetapi ilmu sains dan teknologi yang seantero dunia tahu, hampir kesemuanya di dalam bahasa itu.
12. Saya yakin dan percaya, jika semua pihak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dengan berkesan, tiada isu yang patut timbul lantaran pelaksanaan dasar PPSMI ini. Pakar dan pejuang bahasa teruskan dengan usaha memperkasa Bahasa Melayu dan pelaksana dasar PPSMI, pastikan kelemahan yang wujud dapat diatasi dengan segera. Apabila kedua-dua pihak memikul tanggungjawab masing-masing dengan baik, kesannya pasti hebat! Bahasa Melayu terus dijulang, pengusaan teknologi semaik gemilang, dan negara kita akan terus terbilang.
S.Azhar Shah
Shah Alam
3 comments:
Apa alternatif yang disediakan oleh PPSMI bagi Pengintegrasian ilmu?
saya sedang menyediakan jawapan untuk tuan. berikan sedikit masa.
giler lah...ni yg aku makin tak sabar nak rekmen ko jadik broadcast journalist nih!!!
Post a Comment