Wednesday, August 12, 2009

>> Bangsa ? Negara? Agama? <<

1. Mutakhir ini, banyak sekali perdebatan terbuka berkaitan persoalan bangsa, negara dan agama.

2. Satu golongan bertindak mempertahankan salah satu daripadanya atau dua atau ketiga-tiganya sekali. Tidak kurang juga yang menolak dan menyanggah apa yang dipertahankan oleh kumpulan yang pertama itu.

3. Ada pula golongan yang mengapi-apikan supaya persoalan-persoalan ini akan menyebabkan kerajaan dilihat lemah dan "terpaksa" mengikut apa yang dilaung-laungkan oleh golongan ini. Apabila kerajaan meletakkan undang-undang sebagai pembahagi di antara jalan-jalan yang mereka tempuhi, kerajaan dituduh zalim dan tidak demokratik. Kerajaan dikatakan tidak meraikan demokrasi pada tempatnya. Apakah ia satu demokrasi jika kerajaan menuruti kehendak hawa nafsu mereka dengan mengenepikan hak masyarakat sivil untuk bermasyarakat?

4. Apa sebenarnya yang ingin dicari? Kebebasan tanpa batasan? Atau sekadar memperjuangkan nafsu politik yang tiada berkesudahan? Moga-moga masyarakat akan terus celik membezakan siapa yang sebenarnya memperkudakan demokrasi demi memenuhi kerakusan nafsu sesetengah individu atau golongan yang terlibat.

>> dilema dan kesedihan <<


1. Dilema.

2. Mungkin tulisan ini sudah berjuta batu ketinggalan menilai apa yang pernah ditulis seorang manusia pernah digelar Ultra-Melayu lewat 1960-an dahulu. Sungguh, manusia itu memandang jauh ke dalam dan ke hadapan apa yang dialami oleh orang-orang Melayu di bumi sendiri pada masa itu serta pada hari ini.

3. Situasi dan dilema yang dialami kembali menginjak di bumi ini, selepas 40 tahun kejadian berdarah 1969 berlaku, bibit percikan yang sama seolah-olah membayangi Malaysia sekali lagi pada hari ini.

4. Masyarakat mempersoalkan kedudukan orang Melayu, mempersoalkan kedudukan Raja-raja Melayu, mempertikaikan Bahasa Melayu dan lebih parah lagi mempersoalkan Agama Islam sebagai agama rasmi negara. Namun begitu, apa yang lebih malang lagi buat bangsa yang tidak memegang tali ekonomi dan kekayaan negara, kendi pengetahuan serta uncang perpaduan ini adalah sokongan penghinaan oleh bangsanya sendiri!

5. Lihat sahaja pergolakan politik yang berlaku pada hari ini, golongan yang kononnya memperjuangkan agama, bangsa, dan negara diam membisu tanpa kata apabila isu-isu di atas diperkatakan oleh kawan sebantal politik dengannya. Betullah kata orang, matlamat menghalalkan cara. Betul juga ikutan mereka dalam hal ini. Kawan politik lebih penting daripada apa yang telah diperjuangkan oleh orang-orang terdahulu daripada mereka sebelum ini.

6. Sebelum melangkah dengan lebih jauh, tulisan ini langsung tidak menidakkan hak dan kebebasan kaum lain untuk meraih kemakmuran yang sama di tanah bertuah ini. Apa yang ingin ditekankan adalah peranan serta batas kebebasan yang sepatutnya dipegang oleh mereka dalam merencana agenda masing-masing lebih-lebih lagi agenda politik.

7. Umum tahu, politik-ekonomi-status sosial merupakan tunjang kelangsungan hidup sesuatu bangsa di dunia ini hatta di zaman jahiliyyah sekalipun. Lihat sahaja kehebatan empayar terdahulu baik dari Empayar Rom, Empayar China, Empayar India hinggalah Empayar Islam yang akhirnya turut jatuh awal 1990-an dahulu. Semuanya tegak berdiri kerana kekuatan mereka di dalam aspek-aspek yang dinyatakan hinggalah saat apabila salah satu daripada aspek tersebut atau semuanya lolos dari genggaman.

8. Kaitannya dengan apa yang berlaku mudah sahaja. Orang Melayu pada hari ini sangat jauh ketinggalan dalam pegangan kekayaan ekonomi negara, orang Melayu juga masih ketinggalan dalam mengutip mutiara ilmu, orang Melayu juga saling berbalah mengenai hal-hal remeh, orang Melayu juga masih berarak menjaja agenda politik siapa paling popular dan orang Melayu juga masih melukut meminta "restu" orang lain dalam memartabatkan hak sendiri. Apa yang masih tersisa hanyalah "tali kerajaan" yang dilihat masih mampu meletakkan orang Melayu di puncak kuasa. Juga "payung" di raja yang masih mampu memayungi orang Melayu daripada ditimpa hujan lebat fitnah dan desakan melampau kumpulan-kumpulan tertentu.

9. Sedih.

10. Sedih apabila muncul wira dan wirawati Melayu yang kononnya memperjuangkan ideologi dan kefahaman liberal dunia moden melebarkan fahaman mereka di Malaysia ini. Mereka bukan sahaja memperjuangkan kesamarataan, menentang pemberian hak keistimewaan, mempersoalkan titah dan hubaya Raja-raja Melayu malah menghina institusi raja-raja secara terbuka. Mereka mendabik dada mereka sudah berjaya. Berjaya di dalam bidang masing-masing tanpa memerlukan tongkat dan bantuan daripada kerajaan. Bagi mereka, orang Melayu juga sebenarnya pendatang dan bukannya penduduk asal bumi ini lantaran kenapa perlu dibeza-bezakan? Dakwa mereka juga apa yang dipertahankan pada hari ini adalah pemikiran kolot yang menidakkan arus globalisasi. Kita tidak "moden" kalau masih melaksanakan agenda Dasar Ekonomi Baru (DEB). Benarkah begitu?

11. Apa saja nasib Melayu sekarang ni....