Sunday, March 29, 2009

>> Perhimpunan Agung UMNO <<

Dear all,

Seminggu dua lepas ni agak busy dengan kerja-kerja rasmi di pejabat. Kena pergi kursus lagi.Apa pun, i took it positively...If not payahla nak buat kerja. Sume benda nak komplen. Seminggu dua ni juga, pelbagai peristiwa yang berlaku di luar sana.

Yang terhangat di pasaran pastinya Perhimpunan Agung UMNO ke-59 yang telah mencoretkan kisah suka dan duka para ahli politik. Setidak-tidaknya, ia memberi satu kepuasan kepada ahli nujum politik di luar sana yang sering menduga dan menilik nasib "jaguh-jaguh" UMNO dalam perlumbaan merebut kerusi panas Timbalan, Naib dan Majlis Tertinggi. Tidak kurang juga perlumbaan Ketua-ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri yang terlebih dahulu meniupkan bahangnya. Kepada yang telah dipilih, sekalung tahniah diucapkan. Semoga kemenangan ini akan memberi impak yang sepatutnya kepada negara. Buat yang tewas, ia bukanlah pengakhiran hidup di dunia ini. Tuhan lebih mengetahui, mungkin khidmat kita di pundak tanggungjawab itu belum lagi diperlukan dan ada yang lebih aula untuk mengisinya.

(gambar dari www.utusan.com.my)

Pun begitu, sehangat mana pun isu / perbahasan / sindiran para perwakilan sewaktu berbahas, ia tidak mungkin akan sama dengan rasanya tatkala melihat Tun Dr. Mahathir dan isteri hadir sebagai tanda restu kepimpinan baru yang telah dipilih. Apatah lagi melihat Presiden dan mantan-mantan Presiden berganding tangan di atas pentas sebagai tanda penyatuan.(Harap2 begitulah).

Semoga perhimpunan pada kali ini juga akan memberi momentum yang cukup baik buat Presiden baru UMNO untuk memacu negara ke arah matlamat negara maju menjelang 2020. Semoga ia juga akan menutup sedikit sebanyak dakyah pembangkang di luar sana yang sering mencari ruang dan peluang untuk merobek apa sahaja isu dalam UMNO dan kerajaan supaya nampak jijik di mata rakyat.

============

Tuesday, March 17, 2009

>> s . y . u . k . u . r <<

"Ucaplah Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah...
Selawat ke atas Nabi Muhammad Ya Rasulullah...
..
..
Syukur..Syukur...Syukur Ya Allah..
Syukur...Alhamdulillah...."


Pasti ramai yang masih ingat bait2 lagu Syukur nyanyian Kumpulan Raihan ni. Baik yang kecil atau besar, lagu ni secara sedar atau pura2 x sedar mengingatkan kita betapa kesyukuran itu sebenarnya perlu dilafazkan.

Namun, kita sering terlupa melafazkan kesyukuran itu. Adakalanya kita mengeluh itu dan ini.

Aku pun kadang-kadang terlupa..

....

....

....

Sunday, March 15, 2009

>> Keputusan SPM 2008<<


Setinggi-tinggi ucapan tahniah diucapkan kepada junior SPM 2008 SAM Bestari JAIS, USJ 5 Subang Jaya kerana telah menjadikan SPM 2008 sebagai satu lagi milestone buat SAMBEST. SPM 2008 terus memahat kejayaan cemerlang SAMBEST sebagai sebuah sekolah yang unggul walaupun baru berusia 11 tahun. Berikut adalah keputusan SPM 2008 SAMBEST:

12A - 8 orang
12A 1B - 1 orang
11A ++ - 13 orang
10A - 15 orang
9A - 14 orang
8A - 15 orang
7A - 17 orang
6A - 22 orang
5A - 19 orang
4A dan ke bawah - 23 orang


Peratus : 100%
Gred : 2.19

Masih lagi mengungguli carta sekolah terbaik di bawah JAIS, adalah diharapkan agar SAMBEST dapat dimasukkan ke dalam carta sekolah-sekolah terbaik negara yang lain dan dapat "berlawan" dengan lebih hebat lagi. Apa pun, kejayaan di dalam SPM ini tidak memberi apa-apa makna sekiranya usaha pasca SPM tidak diselarikan dengan hasrat dan buruan kejayaan yang lebih tinggi lagi.

Semoga terus berjaya! Tahniah juga kepada guru-guru, kakitangan dan ibu bapa yang sentiasa memberikan yang terbaik untuk kejayaan permata hati anda.


Wednesday, March 4, 2009

>> P P S M I (2) <<

Bahagian 2



6. Balik kepada persoalan ilmu. Saya tidak nafikan dasar-dasar ini adalah hasil daripada ramuan politik tetapi satu garisan pemisah juga perlu diletakkan antara dasar baik dan tidak menguntungkan. Saya berpandangan, sewajarnya ”pejuang-pejuang bahasa” ini duduk dan bermuhasabah. Apakah tindakan mereka menghalang pelaksanaan dasar ini menguntungkan anak-anak bangsa? Memang wujud halangan dan kekangan di dalam apa jua pelaksanaan sesuatu dasar. Namakan sahaja: isu bandar-luar bandar, teknologi, kelengkapan dan infrastuktur, tenaga pengajar dan sebagainya. Namun ia akan tetap menjadi masalah sekiranya mereka juga tidak tampil membantu menyelesaikannya.

7. Dari sudut penambahbaikan, saya amat menanti-nantikan apakah langkah bijak serta strategi jangka panjang daripada minda pejuang-pejuang ini untuk memastikan Bahasa Melayu terus bertahan. Setakat berarak, berpikat, berdemonstrasi dan menghantar memorandum agar dasar ini dihapuskan, ia tidak menjanjikan apa-apa buat kelangsungan Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati ini, saya ingin melihat mereka benar-benar melaksanakan satu usaha yang benar-benar memberi impak kepada kelangsungan Bahasa Melayu.

8. Saya ingin mencadangkan, agar mereka ini lihat kembali kepada susur galur perjuangan kita merintis daya tahan Bahasa Melayu ini dari dahulu lagi. Tolak ketepi isu PPSMI ini seketika, cadangkan kepada kerajaan dan masyarakat apakah kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan bagi pelajar-pelajar untuk memahami dan menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu sendiri dengan baik. Masih ada pelajar merasakan pelajaran Bahasa Melayu sebagai membosankan. Lihat sahaja prestasi Bahasa Melayu sebelum dasar ini PPSMI ini dilaksanakan pun, masih ada golongan yang tercicir dari kelompok menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Apakah tindakan mereka untuk memperbaikinya? Itu belum lagi melihat kepada usaha-usaha tambahan lain yang sepatutntya digerakkan untuk memperkasa dan mengangkasakan Bahasa Melayu di persada yang selayaknya. Sedih. Kurang dan hampir tiada!

9. Jika isu bahan bacaan sains dan teknologi yang boleh dibilang dengan jari menjadi halangan, maka menjadi tugas anda menterjemahkannya sekalipun tidak mampu menulisnya! Jangan kerana kita tidak mampu, kekuatan pada orang lain kita salahkan.


10. Bertindaklah mengikut peredaran masa. Akal dan buah fikiran yang ada bukannya Al-Quran yang sememangnya tidak boleh diubah biar pun kita kemajuan kita mendahului zaman. Kaitkan dengan apa yang berlaku di luar sana. Berfikir di luar kotak kemelut PPSMI ini seketika. Kita mengutuk Zionis dan Yahudi atas keganasan yang mereka ke atas Palestin dengan kecanggihan peralatan ketenteraan mereka miliki. Apakah kekuatan yang dibina itu bukan hasil daripada penguasaan sains dan teknologi yang mereka milik? Tidak cukup dengan itu, kita juga memboikot barang-barang keluaran Yahudi yang hampir kebanyakan daripadanya merupakan darah daging sebahagian daripada kita sebelum itu. Adakah itu sahaja yang mampu kita lakukan? Kutuk-boikot-demonstrasi? Pengakhirannya, kita kembali menggunakan barang-barang tersebut setelah kita letih dan tiada alternatif lain. Saya melihat dasar PPSMI inilah antara jawapan yang boleh kita julang untuk melihat kekuatan dan penguasaan Yahudi dan unipolar dunia berakhir. Ia mungkin mengambil masa tetapi ia lebih pintar dan bijak daripada sekadar kutuk-boikot-demonstrasi dan tiada apa yang tersirna daripadanya. Saya melihat ini antara matlamat tersirat yang cuba diluahkan oleh si pencetus idea PPSMI ini tetapi berapa ramai yang memikirkan kaitan kitarannya?

11. Saya amat mengharapkan agar dasar PPSMI ini diteruskan dan dilaksanakan oleh kerajaan. Saya juga menyeru kepada penentang-penentang dasar ini melihat kembali kepada yang telah saya nyatakan di atas. Tolak ketepi sebentar usaha boikot-piket-demonstrasi yang anda cuba laksanakan itu, lihat apakah usaha lain yang lebih berkesan dan bermatlamat yang boleh anda laksanakan bagi memperkasa Bahasa Melayu ini. Alangkah manisnya jika generasi yang akan lahir 10-20 tahun nanti bukan sahaja mampu menguasai Bahasa Melayu dengan cemerlang malah dapat menguasai ilmu sains dan teknologi yang dapat mengangkat martabat bangsa dan negara pada saat dan ketika kita menjejakkan kaki ke tahun 2020 nanti. Ingat, kita bukanlah ingin menguasai Bahasa Inggeris tetapi ilmu sains dan teknologi yang seantero dunia tahu, hampir kesemuanya di dalam bahasa itu.

12. Saya yakin dan percaya, jika semua pihak menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dengan berkesan, tiada isu yang patut timbul lantaran pelaksanaan dasar PPSMI ini. Pakar dan pejuang bahasa teruskan dengan usaha memperkasa Bahasa Melayu dan pelaksana dasar PPSMI, pastikan kelemahan yang wujud dapat diatasi dengan segera. Apabila kedua-dua pihak memikul tanggungjawab masing-masing dengan baik, kesannya pasti hebat! Bahasa Melayu terus dijulang, pengusaan teknologi semaik gemilang, dan negara kita akan terus terbilang.



S.Azhar Shah
Shah Alam

>> P P S M I <<




Bahagian 1


Kenapa perlu kecoh? Apakah dosa besar PPSMI sehingga alasan Bahasa Melayu akan diketepikan terpacul? Agak kelakar apabila melihat ”pejuang-pejuang bahasa” di luar sana yang ingin berbicara tentang kemaslahatan bahasa, survival, dan kepupusan Bahasa Melayu pada ketika dan saat ini. Namun, ini bukanlah satu kenyataan yang saya memperlekehkan pejuang-pejuang ini mahupun Bahasa Melayu yang sudah menjadi darah dan daging sekian lama.

Analisis saya mudah:

1. Matlamat dan dasar PPSMI ini perlu dilihat dari sudut ilmiah. Saya percaya bahawa pada pengakhiran penilaian kita nanti, bukanlah generasi yang pandai-cemerlang-fasih Bahasa Inggeris yang ingin kita lahirkan tetapi generasi yang dapat menguasai ilmu sains dan matematik dengan baik. Seandainya lahir generasi yang bukan sahaja boleh menguasai ilmu sains dan matematik malah boleh bertutur-menulis dengan baik juga di dalam Bahasa Inggeris, itu satu kejayaan yang datang dalam satu pakej!

2. Kita harus sedar dan realistik. Di dalam peredaran dunia global pada hari ini, tidak dapat tidak, penggunaan Bahasa Inggeris di dalam bidang-bidang sains memang tidak boleh diketepikan dan dinafikan kepentingannya.

3. Apakah dengan menguasai ilmu sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris, Melayu kita akan hilang? Cuba lihat sudah berapa ramai graduan Melayu di dalam bidang sains dan teknologi dilahirkan, adakah mereka sudah ”Inggeris” dek kerana belajar menggunakan bahasa tersebut?



4. Kita lihat pula dari manakah lahirnya mereka yang kononnya pejuang bahasa dan bangsa ini? Kebanyakan daripada mereka lahir dari sistem pendidikan British yang bertapak lebih daripada 50 tahun dahulu. Bukan satu dua mata pelajaran diajar dalam bahasa penjajah itu, bahkan hampir kesemuanya! Apakah itu telah menyebabkan mereka ”Inggeris”? Tidak! Lihat sahaja tokoh-tokoh yang sudah ada, Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn, malah Tun Dr. Mahathir sendiri, tidakkah mereka ini lahir daripada kelas-kelas Inggeris dan mereka adalah ”Inggeris” pada saat mereka dijulang sebagai pejuang bangsa? Tidak juga! Jadi apa masalahnya?


5. Adakalanya saya terfikir, di mana pejuang-pejuang bahasa ini pada ketika dan masa isu-isu tidak hangat seperti ini berada di pentas media? Apakah inisiatif-inisiatif berimpak besar yang mereka telah perjuangkan jika tidak ada isu PPSMI ini? Apa pula rancangan mereka yang sepatutnya difikirkan 10-20 tahun dahulu dengan satu strategi sejauh pandangan pencetus dasar Wawasan 2020 dan PPSMI ini? Apakah si pencetus dasar-dasar ini pada ketika itu bodoh hingga tidak memikirkan nasib bahasa sendiri? Canggung bukan?

>>I did it again....<<



Again…and again…I did it again!

Tak meng”update”kan blog ni after few centuries…

Again…and again….and will be doing the same thing again…

For the next few centuries…


~~~ s . i . g . h ~~~~