1. Entry kali ini dinamakan Mesir: Nama Sepanjang Zaman. Jauh fikiran melayang mencari tajuk ini. Entah kenapa tiba-tiba terdetik berbicara mengenai Mesir ini. Alasan yang paling mudah mungkin, melihat keadaan yang berlaku di Mesir pada hari ini.
2. Bumi Mesir yang kaya dengan pelbagai khazanah sejarah dunia tiba-tiba menjadi nama yang cukup panas. Nama Hosni Mubarak apatah lagi. Demontrasi dan protes seakan menjadi wabak di bumi arab. Tunisia, Yaman, Syria dan Jordan antara negara yang telah merasai ledakan suara rakyat ini.
3. Pengagihan kek ekonomi yang tidak adil merupakan antara punca utama yang dikenal pasti. Kek ekonomi yang sepatutnya dimamah bersama, tinggal serdak sahaja untuk dikongsi oleh marhaen. Berjuta rakyat hidup di dalam kedaifan dan tidak mempunyai sumber pendapatan yang boleh menampung kehendak peredaran masa pada hari ini.
4. Maklumat asas mengenai Mesir boleh didapati dari sini (The World Factbook of CIA). Secara ringkas;
Populasi: 80,471,869 (July 2010 est.)
Kadar Pertumbuhan populasi: 1.997% (2010 est.)
Literasi: 71.4%
Hari Kebangsaan: Revolution Day, 23 July (1952)
GDP Perkapita: $6,200 (2010 est.)
Labor Force: 26.1 million (2010 est.)
Kadar Pengangguran: 9.7% (2010 est.)
Kadar Inflasi: 12.8% (2010 est.)
Nah, sekilas pandang sudah boleh dibaca melalui "Bahasa Ekonomi" ini apa asbabnya. Namun ia bukanlah bahasa tunggal untuk menilai keadaan yang berlaku pada hari ini. Angka-angka ini boleh direka cipta. Di negara yang terkehadapan sedikit seperti Malaysia, ramai juga yang ambil sikap bena tak bena terhadap pergerakan ekonomi semasa. Apalah sangat agaknya jika angka ini dimanipulasi sedikit agar tampak indah.
(gambar dari time.com)
5. Mungkin juga kita boleh lihat dari sisi jendela yang lain. Apakah semua ini dirancang? Adakah gelora bumi Arab pada hari ini merupakan hasil propaganda "tangan-tangan ghaib"? Spekulasi mudah: negara arab kucar-kacir, Iran hanyut, Arab Saudi hancur dan tangan-tangan ini datang memberi buku resepi "Bagaimana menyelamatkan negara anda?" dan mereka punya kawalan terhadap harga emas hitam- minyak. Sehingga nota ini ditulis, beberapa artikel di Time.com melalui twitter dan laman webnya melaporkan agenda kesan domino di bumi Arab.
6. Merantai kembali apa yang berlaku di dasar, sememangnya ranjang kehidupan marhaen di Mesir rancu dan daif. Kesempatan untuk melihat sendiri keadaan di Mesir bersama rakan-rakan pada 2005 merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Di sebalik keajaiban dunia yang terpasak di bumi lembah Nil itu, wujud wadi-wadi marhaen yang perlu didekati. Seandainya dinisbahkan dengan peranan agensi kerajaan di Malaysia, pastinya Senator Dato' Seri Shahrizat Jalil menangis tidak cukup tangan untuk membawa mereka keluar dari wadi kedaifan itu. Apatah lagi hidup di bumi yang mungkin belalang tidak kenal rumput.
7. Satu peristiwa yang masih segar berlaku di sewaktu berjalan menuju ke stesen kereta api di Kaherah untuk ke Iskandariah. Sekumpulan anak kecil mengekori kumpulan kami untuk meminta apa sahaja yang boleh diperoleh. Ada yang sudi memberikan sedikit bekalan makanan dan di situlah drama bermula. Pergaduhan antara anak-anak kecil ini mula tercetus, berebut makanan sejemput. Tolak-menolak berlaku, makanan tercampak ditengah jalan raya, dilenyek oleh kenderaan yang lalu namun tetap diserbu dan terus disuap ke dalam rongga hingga tidak tersisa satu pun. Aduhh, ramai yang menitiskan air mata melihat aksi percuma ini.
(suasana di stesen keretapi - skrg mungkin dh berubah)
8. Berbalik kepada tajuk entry ini, kenapa dikatakan nama sepanjang zaman? Ia mudah kerana nama "Mesir" telah lama tercatat sebagai jenama sejarah peradaban dunia. Peradaban Mesir dikesan bermula kira-kira 3150 tahun B.C. dan ada juga yang menyatakan lebih lama daripada itu. Peradaban Mesir terbina dengan penuh kecanggihan pada masa tersebut. Piramid dan Sphynx adalah antara tinggalan yang membuktikan kemegahan dan kecanggihan itu wujud. Lebih-lebih lagi teka-teki pembinaan piramid masih belum terungkai sehingga kini. Penguasaan empayar Mesir yang dipimpin oleh Firaun (termasuklah yang ditelan Laut Merah di dalam kisah Nabi Musa A.S) memaparkan betapa bangsa Mesir adalah bangsa yang maju (tetapi perlu disulami kerendahan hati dan jiwa agar tidak tersasar dari jalan-Nya). Justeru, apakah yang boleh menidakkan Mesir sebagai nama sepanjang zaman? Hasil daripada tinggalan ini, Mesir dilawati oleh berjuta pelancong yang ingin mengenalinya dengan lebih dekat (yer..termasuklah diriku). Manfaat daripada tinggalan khazanah ini perlu dirasai oleh segenap rakyat Mesir termasuklah mempelbagai peluang ekonomi kelas marhaen melalui aktiviti pelancongan. Mungkin Tourism Malaysia boleh bagi konsultasi macam mana nak mulakan program inap desa (homestay) di Mesir pula. Mengahayati keindahan Sungai Nil yang lebarnya adakala hampir menjangkau dua kilometer memang mengasyikkan.
9. Semoga pergolakan yang berlaku di Mesir ketika ini segera tamat dengan cara yang terhormat buat pemimpin dan rakyat.
No comments:
Post a Comment